FERGANA: Impian Skuad futsal negara untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia di Bangkok, Thailand tahun hadapan tidak kesampaian apabila tewas tipis 3-4 kepada tuan rumah, Uzbekistan pada aksi Kumpulan G, sebentar tadi.
Berlangsung di Kompleks Sukan Samo, Fergana, ini kekalahan kedua berturut-turut skuad bimbingan Rakphol Sainetngam selepas tewas 1-2 menentang Iraq, Sabtu lalu.
Bagaimanapun pujian buat pasukan negara yang berjaya memberi tentangan sengit berdepan tuan rumah yang berada di ranking ke-25 dunia.
Uzbekistan turut membariskan sembilan pemain yang menyaksikan mereka layak ke pusingan 16 Piala Dunia 2021 di Lithuania.
Malaysia nyata tidak memberikan laluan mudah kepada Uzbekistan dengan penjaga gol, Zainulzahin Sinuan menjadi tumpuan apabila tangkas menggagalkan deretan percubaan lawan.
Manakala pemain-pemain seperti Awalluddin Mat Nawi, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Saad Sani turut mencemaskan Uzbekistan dengan gerakan-gerakan menarik.
Uzbekistan membuka tirai jaringan menerusi Ikhtiyor Ropiev pada minit ke-18 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Kurang konsentrasi pemain negara dihukum pada babak kedua menyaksikan tuan rumah menambah tiga lagi jaringan menerusi Davron Choriev pada minit ke-27 dan lima minit kemudian Elbek Tulkinov menjadikan kedudukan 3-0.
Taktikal ‘power play’ digunakan skuad negara membuahkan hasil selepas Syahir Iqbal merembat masuk selepas menyempurnakan lorongan Awalluddin.
Choriev kembali memberi Uzbekistan kelebihan tiga gol pada minit ke-38,
Ketinggalan 1-4 tidak melemahkan semangat pemain kebangsaan apabila merapatkan kedudukan menerusi Syahir Iqbal.
Syahir yang baharu berusia 18 tahun, membuktikan kematangannya apabila mencipta hattrik untuk kedudukan 3-4 pada minit ke-39.
Begitupun ketika Uzbekistan makin cemas dengan kebangkitan Malaysia, mereka akhirnya lega apabila siren dibunyikan untuk menamatkan perlawanan yang sengit itu.
Kemenangan ini membolehkan Uzbekistan di tangga teratas, manakala Iraq yang turut mencipta kemenangan kedua menewaskan Kemboja 7-0 di tangga kedua.
Malaysia mengakhiri kempen kumpulan menentang Kemboja Rabu, ini jam 6 petang.