comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia akhirnya tewaskan Korea Selatan

FOTO: Ihsan MHC


Oleh : Hazreen Mubarak 

KUALA LUMPUR: Selepas empat kali percubaan, skuad hoki negara akhirnya mencetak kemenangan pertama pada siri jelajah persahabatan di Korea Selatan, semalam.

Ia menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj menang tipis 2-1 ke atas pasukan tuan rumah, sekali gus menutup kempen siri jelajah dengan rekod satu menang, dua seri dan satu kalah.

Berlangsung di Pusat Latihan Nasional Jingcheon, Incheon, Najib Abu Hassan beraksi cemerlang apabila memecahkan kebuntuan gol pada minit ke-28 menerusi jaringan padang.

Namun Korea Selatan tidak mengambil masa untuk merapatkan kedudukan hasil penyudah gol padang minit ke-36.

Penyerang negara Shamie Irfan Suhaimi muncul wira mengesahkan kemenangan menerusi satu lagi gol padang pada minit ke-45, sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kejayaan ini sekaligus menoktahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kempen siri jelajah persahabatan selepas dua seri dan satu kekalahan dalam tiga aksi sebelum ini.

Siri jelajah persahabatan itu juga akan menjadi antara medan persediaan buat pasukan kebangsaan menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, dari 3 hingga 12 Ogos depan di Chennai, India.

Loading...
Terkini