PETALING JAYA: Disebalik sudah mencecah usia 36 tahun, bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi masih mempunyai nilai yang tinggi.
Ia nyata melalui kontrak USD150 juta (RM678.9 juta) yang bakal diterima Messi sepanjang dua setengah tahun bersama kelab Inter Miami dalam Liga Amerika Syarikat.
Jumlah itu nyata jauh lebih tinggi berbanding USD82 juta (RM371.132 juta) yang pernah diterima Messi sepanjang tempoh dua tahun ketika di Perancis bersama kelab Paris Saint Germain (PSG).
Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk faedah dan kemudahan lain seperti bonus.
Sebelum ini, kelab Al-Hilal dari Liga Arab Saudi sedia menawarkan sehingga RM1.05 bilion setahun kepada pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu.
Mengikut laporan, Messi akan diperkenalkan sebagai pemain rasmi Inter Miami lewat hari ini.
Terdahulu, Messi dipetik sebagai berkata dia amat teruja untuk memulakan babak baharu dalam karier saya bersama Inter Miami dan di Amerika Syarikat.