KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan penyerang di liga utama sekitar Eropah menjadi antara pemain warisan yang sudah dikenal pasti untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Perkara itu dikongsikan Tunku Mahkota Ismail menerusi laman X sambil memaklumkan beberapa lagi pemain warisan yang beraksi di bahagian pertahanan dan tengah.
Tunku Mahkota Ismail berkongsi perkara terbabit sebagai menjawab persoalan salah seorang pelayar laman berkenaan selepas bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu mendedahkan enam hingga tujuh pemain warisan untuk Harimau Malaya sudah dikenal pasti.
Malah, Tunku Mahkota Ismail turut memaklumkan kebanyakan pemain terbabit beraksi di liga utama Eropah, namun bukan dari England.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri. Majoriti bermain di liga utama di Eropah. Tiada dari England, kebanyakan Selatan Eropah,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman sosial miliknya memaklumkan enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti untuk memperkuat skuad Harimau Malaya.
Lebih menarik, Tunku Mahkota Ismail turut memuat naik gambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan.
Turut kelihatan dalam gambar itu adalah legenda bola sepak Australia, Tim Cahill yang juga penasihat Tunku Mahkota Ismail bagi sukan dan hubungan antarabangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.