![](https://media.buletintv3.my/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-07-at-17.45.07.jpeg)
KANGAR: Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan perintah injuksi difailkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi menghalang Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijadualkan 15 Februari ini.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Arik Sanusi Yeop memerintahkan agar PFA membawa permohonan ini ke peringkat Mahkamah Timbang Tara sekiranya mahu meneruskan hasrat menghalang kongres berkenaan.
Perkara itu disahkan Presiden PFA, Zamri Ibrahim yang berkata, keputusan berkenaan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kangar menerusi prosiding pendengaran semula permohonan dijalankan secara sidang video Zoom di kediamannya hari ini.
“Permohonan (injuksi) ditolak dan hakim (Mahkamah Tinggi) perintah kes dibawa ke timbang tara namun kita (PFA) sedang mempertimbangkan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara atau memfail rayuan terhadap keputusan Majlis Tertinggi FAM itu.
“Dalam masa yang sama juga, Kongres Pemilihan FAM juga masih boleh dijalankan,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Dalam pada itu, FAM dalam satu kenyataan memaklumkan kes PFA terhadap badan induk itu dibatalkan.
“Mahkamah turut memerintahkan bahawa pihak PFA dikehendaki membayar kos kepada FAM,” kata kenyataan itu.
Pada 31 Disember tahun lalu, PFA memfailkan permohonan perintah injuksi bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM bulan ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.