comscore
Tumpuan :
Sukan

Magis Messi berterusan, Ecuador jadi mangsa

Lionel Messi membantu kemenangan Argentina mengatasi Ecuador 1-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium El Monumental, Buenos Aires sebentar tadi. – FOTO: Reuters

BUENOS AIRES: Jaringan babak kedua Lionel Messi membantu Argentina menang 1-0 ke atas Ecuador ketika mereka memulakan kempen kelayakan ke Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan sebentar tadi.

Juara dunia Argentina mendominasi pegangan bola namun kecewa ketika menyerang apabila mereka bergelut untuk memecah kebuntuan.

Kapten Messi bagaimanapun meneruskan persembahan cemerlang dipamerkan bersama kelabnya Inter Miami apabila dia tampil meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-78.

Dalam perlawanan lain, Colombia menundukkan Venezuela 1-0 manakala Peru yang beraksi 10 pemain seri 0-0 di Paraguay ketika perjalanan panjang kempen kelayakan zon Amerika Selatan bermula.

Tandukan Rafael Santos Borre pada minit ke-46, susulan hantaran silang Jhon Arias sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat Colombia di Barranquilla.

Kemenangan itu bermakna permulaan cemerlang buat jurulatih baharu Colombia, Nestor Lorenzo, warga Argentina yang mengendalikan perlawanan kompetitif pertamanya.

Colombia gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu manakala Venezuela berharap dapat menempah tiket kali pertama ke pusingan akhir.

Tugas Peru menjadi agak sukar di Ciudad del Este apabila pemain pertahanan mereka Luis Advincula dibuang padang pada masa kecederaan babak pertama selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Perlawanan pusingan pertama kelayakan CONMEBOL diteruskan pagi esok apabila Uruguay berdepan Chile di laman sendiri sebelum juara dunia lima kali Brazil menentang Bolivia. – AGENSI

Loading...
Terkini