Tumpuan :
Sukan

Luqman yakin kualiti Liga Iceland

FOTO: UMF Njardvik

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak pernah sangsi dengan tahap saingan Liga Iceland biarpun ada segelintir peminat mempertikaikan keputusannya itu.

Jelas Luqman, tahap bola sepak Iceland sebenarnya cukup tinggi di mana negara itu berjaya melahirkan ramai pemain berkaliber selain kedudukan ranking dunia juga menyaksikan negara terbabit menghuni tangga 63 dunia.

Katanya, selain penilaian itu dia juga mendapatkan pandangan bekas rakan sepasukan di Selangor FC sebelum ini iaitu Armin Maier Rafi yang pernah bermain di Iceland bersama kelab UMF Vikingur pada musim lalu.

Ujar Luqman lagi, Armin menasihatkannya mencuba beraksi di Iceland yang turut menekankan corak permainan fizikal dan agresif.

“Sebelum saya pilih main di sini (Liga Iceland), saya ada tanya pandangan Armin dan dia cakap gaya permainan tak banyak beza dengan liga Eropah lain.

“Bila saya dah ada di sini, memang benar di mana saya yakin Liga Iceland ini dapat membantu meningkatkan lagi tahap permainan saya.

“Saya mahu jadikan sini landasan untuk saya bina keyakinan dan raih minit permainan yang banyak di sini,” katanya yang menyertai UMF Njardvik secara pinjaman selama semusim dari KV Kortrijk (KVK).

Luqman yang pernah tergolong antara 60 pemain muda paling berbakat di dunia oleh The Guardian mula menyertai KVK pada Oktober 2020 dengan ikatan kontrak lima tahun dengan kelab divisyen satu Belgium itu.

Begitupun selepas dua musim, pemenang kasut emas Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 lalu itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan dalam skuad pembangunan KVK saja. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini