KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin hampir pasti tidak akan menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada kejohanan Piala AFF B-23 yang akan bermula 18 Ogos depan.
Ini kerana pemain berusia 21 tahun itu tidak mendapat pelepasan daripada kelabnya di Iceland, Njardvik berikutan saingan itu berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun pengurus B-23 negara Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu akan menyertai pasukan negara pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan bermula September ini.
“Kemungkinan besar Luqman tidak akan menyertai pasukan untuk mengharungi perlawanan Piala AFF B-23 namun tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai ramai pemain lain, katanya.
Sebelum ini, Luqman turut terlepas Sukan SEA di Kemboja namun kembali disenaraikan untuk menyertai kem latihan negara bagi menghadapi saingan Piala AFF B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.
Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B pada saingan Piala AFF B-23 dan bakal bertemu Indonesia pada 18 Ogos diikuti Timor-Leste pada 22 Ogos di Chonburi, Thailand.
Kelayakan Piala Asia B-23 pula akan berlangsung pada bulan September di Bangkok, di mana Malaysia sekumpulan dengan tuan rumah, Filipina dan Bangladesh dalam Kumpulan H.
Juara daripada 11 kumpulan kelayakan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik ke pusingan akhir bersama tuan rumah, Qatar bagi melengkapkan 16 pasukan terbaik.
Tiga pasukan terbaik layak untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.