Tumpuan :
Sukan

LTDL2024: Poole juara edisi ke 28, Malucelli cetus sensasi saat akhir

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BINTULU: Pelumba DSM Firmenich PostNL, David Max Poole diumumkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi edisi 2024 selepas menamatkan aksi dengan kelebihan 13 saat pada penamat peringkat terakhir di Bintulu Sarawak.

Turut menjadi tumpuan, pemenang peringkat kelapan, pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang cemerlang turut merampas jersi oren untuk diumumkan sebagai raja pecut LTdL 2024.

Peringkat terakhir perlumbaan membabitkan laluan sejauh 147.5km dengan tiga zon pecut di tawarkan Kem Batu 18 (83.8km) dan dua ‘loop’ di Lasar Kenyalang (113.6km dan 130.5km).

Seramai 103 pelumba hadir meneruskan persaingan dengan 4 pelumba, Yuhi Todome (EF), Alex Tolio (Bardiani), Ching Yin Mow (Hong Kong) and Joshua Cranage (ARA) berjaya membuat pecahan.

Kumpulan hadapan berjaya mengekalkan rentak kayuhan sehingga lebih tiga minit walaupun terpaksa menempuhi cuaca hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan.

Menuju ke zon pecut satu di Kem Batu 18, Tolio muncul pelumba terpantas untuk mengutip mata bonus.

Dan Tolio terus mengekalkan kayuhannya untuk memenangi zon pecut kedua di penamat Lasar Kenyalang.

2km menuju zon pecut ketiga, kumpulan pecahan berjaya ditangkap peloton besar, dan Rick Pluimers dari pasukan dari pasukan Tudor Pro Cycling terpantas mendapatkan mata.

Tumpuan seterusnya terarah kepada persaingan menuju penamat dan ketika usaha keras dilakukan pelumba Tudor, Arvid De Kleijn, pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli sekali lagi tampil dengan kayuhan pantas.

Sekaligus merakam kemenangan peringkat buat kali ketiga apabila sekali lagi mengungguli saingan di Lasar Kenyalang.

Lebih sensasi, Malucelli turut berjaya merampas jersi oren selaku raja pecut LTdL 2024, mengumpul 80 mata keseluruhan, berkelebihan 2 mata berbanding De Kleijn di tangga kedua.

Jersi putih terbaik Asia turut dimenangi pelumba JCL menerusi kejayaan Manabu Ishibashi, sementara pelumba Burgos BH, Mario Aparicio Munoz bergelar raja bukit secara rasminya.

Pelumba DSM Firmenich PostNL, David Max Poole diumumkan sebagai juara keseluruhan LTdL 2024 menerusi catatan masa keseluruhan 26 jam, 27 minit dan 44 saat, mengatasi cabaran seorang lagi pelumba JCL, Thomas Pesenti dengan kelebihan 13 saat.

Terbaik dalam kalangan pelumba tempatan, Muhd Nur Aiman Zariff yang menamatkan saingan di tempat ke 41 keseluruhan.

Sementara itu, pasukan Equipo Kern Pharma diumumkan sebagai juara keseluruhan kategori pasukan, diikuti pasukan Astana Qazaqstan dan Team Polti Kometa ketiga.

Kategori berpasukan terbaik Asia pula dimenangi JCL Team Ukyo, dengan pasukan kebangsaan Thailand kedua.

Dan pasukan Malaysia Pro Cycling, MPC gah mencipta sensasi tersendiri pada penampilan pertama apabila berjaya menamatkan saingan kategori berpasukan Asia di tempat ketiga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini