Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
BENTONG: Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn kembali mempamerkan taringnya apabila mengungguli peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL 2024) yang bermula di Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Bentong, Pahang.
Dengan jarak sejauh 131.2km, tiga zon pecut di Raub (73.5km), Sungai Ruan (85.1km) dan Sungai Klau (94.6km) di tawarkan hari ini selain satu zon pendakian di GAP (39.3km).
125 pelumba memulakan kayuhan di Kuala Kubu Bharu hari ini dan sebaik melepasi zon neutral, beberapa percubaan dilakukan pelumba-pelumba untuk membuat pecahan.
Enam pelumba akhirnya berjaya membentuk kumpulan pendahulu termasuklah pelumba Burgos BH, Mario Aparicio yang membuat kayuhan solo semalam.
Dan zon pendakian kategori satu di GAP, Aparicio mengutip mata penuh, sekaligus bakal menjadi pemegang jersi polka-dot hari ini.
Zon pecut satu di Raub, giliran pelumba Li-Ning, Cristian Raileanu mendapatkan mata penuh dan Joan Bou dari pasukan Euskaltel Euskadi mengungguli zon pecut dua di Sungai Ruan.
Yuma Koichi pula ceria dengan mata pecut di zon ketiga di Sungai Klau.
Enam pelumba terus mengekalkan kedudukan dalam kumpulan hadapan sebelum peloton besar yang bergerak pantas terus membuat gerakan.
Dan ketika perlumbaan berbaki 500m, kumpulan pendahulu ditangkap dan bermulanya henjutan pakar-pakar pecut menuju ke garisan penamat.
Arvid De Kleijn bijak menempatkan dirinya di ruang terbuka, membuat kayuhan pantas sebelum mengesahkan kemenangannya di Bentong.
Ia memang penamat yang dinanti kelahiran Belanda itu selepas gagal melakukannya pada dua peringkat awal yang menawarkan laluan landai.
Terbaik dalam kalangan pelumba tempatan, Muhd Nur Aiman Zariff dari pasukan Terengganu Cycling (TSG) yang menamatkan aksi di tempat ke 25.
Jersi putih terbaik Asia kini menjadi milik pelumba Aisan, Hayato Okamoto, sementara Aparicio seperti dijangka merampas jersi Polka-dot raja bukit.
Matteo Malucelli pula kekal dengan jersioren raja pecut sementara jersi hijau keseluruhan turut dipegang pelumba sam, David Max Poole dari pasukan DSM Firmenich PostNL.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa