Tumpuan :
Sukan

LTdL: Bax Sjoerd Lebar Penguasaan Alpecin-Deceuninck Di Peringkat Ke-7, Sosa Hampiri Gelaran Juara Keseluruhan

Pelumba dari Alpecin Deceuninck, Sjoerd Bax (kanan) menjuarai Peringkat ke 7, Le Tour de Langkawi 2022 di Pekan Kuah hari ini.

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

LANGKAWI: Pasukan UCI Pro Alpecin-Deceuninck meneruskan penguasaan di Le Tour de Langkawi 2022 apabila mengumpul kemenangan ketiga peringkat hari ini.

Saingan kedua terakhir yang diubah menggunakan laluan peringkat kelapan itu bermula dan berakhir di Kuah sejauh 107.01 kilometer (km) itu menyaksikan pelumba Bax Sjoerd menuruti jejak langkah kejayaan rakan sepasukan Jakub Mareczko dan Lionel Taminiaux yang mengungguli peringkat ke-4 dan ke-5 sebelum ini.

Sjoerd bersaing dengan dua lagi pencabar menuju garisan penamat sebelum henjutan terakhir memastikan gelaran juara peringkat ketujuh menjadi miliknya menerusi catatan 2 jam 20 minit 52 saat.

Tempat kedua diraih Smit Wilem Jakobus dari China Glory Continental Cycling Team, manakala wakil Burgos-BH Adria Moreno ketiga.

“Pasukan kami amat menakjubkan minggu ini. Saya dapat merasakannya hari ini merupakan hari terbaik saya. Saya tiba di Malaysia dengan momentum baik dan meyakinkan selepas menjuarai Coppa Agostoni di Itali. Pada mula perlumbaan memang terasa bahangnya tetapi sekarang saya berada dalam keadaan baik,” jelas Bax kepada media selepas memenangi perlumbaan disini.

Ivan Ramiro Sosa dari pasukan Movistar mengekalkan pegangan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan tinggal selangkah lagi untuk ditabalkan juara edisi ke-26 apabila perlumbaan terakhir dijadual esok.

Pelumba Uno-X Pro Cycling Team Erlend Blikra meraih jersi hijau raja pecut, manakala Terengganu Polygon Cycling Team sekali lagi melakar kejayaan berganda jersi merah raja bukit menerusi Muhammad Nur Aiman Mohd Zarif dan jersi putih pelumba terbaik Asia Jambaljamts Sainbayar.

Loading...
Terkini