comscore
Tumpuan :
Sukan

LTDL 2024: Terengganu mahu perlumbaan LTdL kembali ke ‘Land Of Cyclist’

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PULAU LANGKAWI: Terengganu sedia untuk kembali membawa perlumbaan Le Tour de Langkawi kembali ke ‘Land Of Cyclist’ tahun depan.

Ia selepas pemilihan laluan sebelah pantai Barat Malaysia menjadi pilihan penganjur selepas menjelajah kawasan pantai Timur edisi 2023.

Bagi bekas pengerusi Terengganu Cycling Team (TSG), Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga merupakan exco kerajaan negeri Terengganu, memang ia ada dalam perancangan untuk perlumbaan berprestij Asia ini kembali ke Terengganu.

“Bulan Oktober ni, kita ada Tour Gateh d’Tranung dan kita ada 7, 8 peringkat juga di dalam kejohanan tersebut, jadi ertinya, memang ‘land of cyclist’ adalah ‘tagline’ yang kita masih lagi pegang benda tu dan kita akan teruskan.

“Kita cubalah untuk edisi 2025 untuk bida supaya Terengganu termasuk dalam salah satu peringkatlah, kalau tidak satu, dua peringkatlah”, kata Datuk Wan Sukairi.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan exco sukan negeri Terengganu dan telah bertukar portfolio mahupun sebagai pengerusi TSG, Datuk Wan Sukairi tetap mengikut rapat perkembangan pasukan.

Dan buat pertama kalinya esok, beliau akan mengikuti perlumbaan peringkat pertama di Pulau Langkawi bersama dengan ‘team car’ TSG, merasai sendiri kehangatan perlumbaan.

Beliau hari ini turut meluangkan masa bertemu dengan barisan pelumba TSG, berkongsi kata-kata semangat dan dorongan kepada pelumba-pelumba yang akan memulakan saingan esok.

“Dalam pertemuan tadi secara santai, yang pertama sudah tentulah saya berikan kata-kata semangat dan juga harapan mereka untuk memberikan yang terbaik.

“Sudah tentunya kadang-kadang untuk saat kita berhadapan dengan kejohanan ini, kita tidaklah sangat perlu memberi tekanan kepada mereka kerana kadang-kadang tekanan itu menyebabkan sama ada tekanan itu menyebabkan kejayaan, boleh jadi negatif yang menyebabkan mereka gagal memberikan persembahan yang sepatutnya.

“Tetapi saya cukup yakin dengan kebolehan yang ada pada pelumba-pelumba TSG ini kerana semua pelumba-pelumba kita ini merupakan pelumba yang berpengalaman bertahun-tahun bukan saja dalam kejohanan peringkat antarabangsa di Malaysia, tetapi juga di luar, semua pengalaman itu dapat digunakan”, katanya lagi.

Peringkat pertama perlumbaan di Pulau Langkawi membabitkan laluan sejauh 96.5km.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini