Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KULAI: Pelumba VF Group Bardiani CSF-Faizane, Manuele Tarozzi berjaya merakam kemenangan sulungnya di Le Tour de Langkawi 2024 selepas mengungguli saingan peringkat keenam dari Batu Pahat ke Kulai, Johor.
Perlumbaan hari ini membabitkan laluan sejauh 123.4km, menawarkan hanya tiga zon pecut di Senggarang (21.0km), Rengit (35.4km) dan Bukit Batu (80.3km).
Sebaik melepasi zon neutral, beberapa cubaan untuk membuat pecahan tidak menjadi.
Cubaan yang dilakukan pelumba Terengganu Cycling Team, Muhd Nur Aiman Zariff dan pelumba kebangsaan, Yusri Shaari untuk meninggalkan peloton juga berjaya dipatahkan.
Zon pecut satu di Senggarang memyaksikan persaingan untuk mendapatkan mata dengan pelumba Polti Kometa, Manuel Panelvar paling pantas melepasi garisan.
Empat pelumba berjaya membuat pecahan selepas itu, diketuai pelumba EF Education Easypost, Stefan De Bod.
Zon pecut dua di Rengit, giliran pelumba VF Group Bardiani CSF – Faizane, Manuele Tarozzi mendapatkan mata penuh.
Memasuki zon pecut tiga di Bukit Batu, giliran Valentin Darbellay dari pasukan Corratec Vini Fantini pula memenangi saingan.
Menuju ke Kulai, kumpulan peloton mula mengejar, namun, dua pelumba, De Bod dan Tarrozi berjaya meneruskan kayuhan.
Mereka berentap menuju penamat dan Tarozzi ceria selepas berjaya mengungguli saingan.
Terbaik kalang pelumba tempatan, pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Ahmad Syazrin Awang Ilah.
Bagi perebutan jersi, Arvid De Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling berjaya merampas jersi oren selaku raja pecut yang baharu selepas penamat tempat ketiga yang diraihnya.
Sementara jersi putih terbaik Asia kekal milik Manabu Ishibashi dari pasukan JCL Team Ukyo, manakala jersi polka-dot raja bukit juga masih disarung Mario Aparicio Munoz dari pasukan Burgos BH.
David Max Poole dari pasukan DSM Firmenich PostNL juga terus menjarangkan catatan mata kepada 14 saat untuk mengekalkan jersi hijau keseluruhan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa