comscore
Tumpuan :
Sukan

LTDL 2024: Poole tawan Cameron Highlands

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

CAMERON HIGHLANDS: Pelumba DSM Firmenich PostNL, David Max Poole menepati ramalan apabila bergelar pemenang pada peringkat ketiga, ‘Queen Stage’ dari Taiping, Perak ke Cameron Highlands.

 

Saingan hari ini, tiga zon pecut ditawarkan di Kuala Kangsar (29.0km), Sungai Siput (52.7km) dan Ipoh ( 77.3km) selain 3 zon bukit di Kuala Kangsar (17.3km), Kampung Raja (137.8km) dan pendakian kategori hors di Brinchang (161.9km).

Sebaik melepasi zon neutral, 3 pelumba berjaya membuat pecahan diketuai Muhd Fahmi Khairul dari pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) selain pelumba Filipina,Jude Francisco dan pelumba Thailand, Peerapol Chiawcangwang (Thailand).

Persaingan antara tiga pelumba menyaksikan Francisco berjaya memenangi zon bukit pertama di Kuala Kangsar dengan Fahmi di tempat kedua.

Zon pecut satu juga di Kuala Langsar, giliran Khairul Fahmi pula paling pantas sebelum Francisco kembali menguasai zon pecut dua di Sungai Siput.

Cubaan Fahmi untuk mendapatkan mata penuh di zon pecut ketiga di Ipoh juga tidak menjadi selepas Francisco sekali mengungguli saingan.

Memulakan pendakian ke Cameron Highlands di Simpang Pulai, gerakan pantas terus dilakukan peloton besar sebelum kumpulan pendahulu berjaya ditangkap berbaki 64km terakhir.

Perlumbaan kini dipimpin pasukan EF Education Easypost yang pasti mahu menarik pelumbaan utamanya, Simon Carr ke bahagian hadapan.

Berbaki 39km, pelumba Burgos BH, Mario Aparicio membuat henjutan solo dan turut mengungguli zon bukit kategori satu di Kampung Raja.

Namun, dia ditangkap berbaki 13km terakhir dengan persaingan bakal disaksikan di zon bukit terakhir di Brinchang.

David Max Poole mengetuai kumpulan pecahan selepas itu, turut mengungguli zon bukit kategori Hors di Brinchang.

Menuju penamat, 11 pelumba berentap untuk mendapatkan kemenangan dan kayuhan bertenaga Poole menyaksikan dia berjaya menakluki penamat di Cameron Highlands.

Dalam kalangan pelumba tempatan, anak jati Cameron Highlands, Muhd Syawal Mazlin paling awal tiba di penamat, menduduki tangga ke 44 keseluruhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini