Tumpuan :
Sukan

LTDL 2024: Poole bakal cabar Carr untuk gelaran juara

Pasukan Tudor Pro Cycling

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PULAU LANGKAWI: Pelumba DSM Firmenich PostNL, Max Poole bakal menjadi pencabar utama juara bertahan, Simon Carr dari pasukan EF Education Easypost.

Manakan tidak, pelumba Great Britain yang berusia 21 tahun itu masih segar dengan penampilan cemerlangnya pada perlumbaan ‘World Tour’, La Vuelta A Espana yang berakhir lebih kurang tiga minggu lalu.

“Saya tidak pasti masih segar atau tidak tetapi ya, saya dari La Vuelta A Espana, seperti yang saya katakan, ia perlumbaan yang cukup sukar, tetapi di sini, saya jangkakan saya dapat menandingi pelumba-pelumba lain, ia tetap satu perlumbaan yang sukar dengan cara yang berbeza, bagi saya, saya tidak rasa ia satu tekanan jika saya melakukan perkara yang sama dan kita lihat apa yang berlaku akhir nanti.

“Saya tidak dapat memberikan gambaran penuh kerana ini kali pertama saya berlumba di Asia, memang agak menarik, seperti di Pulau Langkawi, segalanya menarik, saya tidak pernah melaluinya sebelum ini, pasti menarik untuk menikmatinya”, kata Poole pada sidang media pelumba.

Poole pada saingan La Vuelta A España 2024 berjaya menampilkan aksi memukau apabila cemerlang meraih penamat tempat kedua pada peringkat ke 12 perlumbaan.

Dan ia diperkukuhkan dengan tiga penamat tempat ketiga pada peringkat ke 11, 16 dan 18, menjadikan pelumba pasukan DSM ini antara yang perlu diberi perhatian dan pastinya bakal mencabar juara bertahan, Simon Carr dari pasukan EF Education Easypost.

“Saya rasa sudah tentu, mereka adalah pelumba yang mempunyai persamaan seperti saya, saya rasa peringkat ketiga perlumbaan menjadi tumpuan kami semua, ya, ia menjadi penentu untuk pemegang jersi keseluruhan, bila melihat pasukan lain, ada yang memang memberi tumpuan kepada pendakian, tetapi saya merasakan pakar pecut yang akan memenangi juara keseluruhan, dengan mata bonus dan jika mereka dapat membuat kayuhan baik di peringkat ketiga, jadi ia bergantung kepada bagaimana perjalanan perlumbaan itu nanti.

“Ia merupakan gelaran juara keseluruhan tunggal yang saya telah menangi, sudah tentu pencapaian yang besar dan ia keputusan yang cukup baik dapat saya capai tahun lalu, menamatkan aksi penghujung musim dengan cara itu dan kemudian dapat bercuti dengan tenang.

“Saya rasa tahap kecergasan saya lebih kurang sama seperti tahun lalu, misi pasukan sudah tentu sama untuk memenangi gelaran juara keseluruhan dan menang kategori keseluruhan tetapi laluan agak berbeza, tahun lalu memang saingan di Genting Highlands jadi penentu, tahun ini nampak lebih mudah, tetapi agak sukar untuk membuat jangkaan, mungkin pakar bukit akan memenangi gelaran juara keseluruhan”, kata Carr.

Sementara itu, pemenang jersi bukit edisi lalu, Simon Pellaud dari pasukan Tudor Pro Cycling tetap tenang dengan insiden yang menimpanya apabila basikalnya masih belum sampai ke Pulau Langkawi dari penerbangan di Dubai.

“Saya sudah memulakan latihan semalam, mungkin esok juga, tidak, maksud saya, saya tetap menjalani latihan, ada pasukan baik tampil meminjamkan basikal kepada saya, saya berharap akan dapat basikal saya malam ini, ada penerbangan yang datang dari Dubai, saya harap ia membawa basikal saya, sekurang-kurangnya sebuah basikal kerana penaja saya pasti ‘gembira’ melihat saya berkayuh dengan basikal jenama lain, saya tidak bimbang, saya tidak boleh melakukan apa-apa, hanya tunggu dan lihat.

“Ini kali pertama saya berdepan dengan perkara sebegini, sebelum ini pernah berlaku ketika menjalani latihan, tetapi itu adalah latihan, ia bukan masalah besar, tetapi untuk perlumbaan, ini adalah kali pertama, saya tahu kondisi saya bagus, walaupun tanpa basikal saya semasa latihan semalam, ia bukan satu yang memberi kesan besar terhadap prestasi saya, saya hanya cuba ambil perkara ini dengan tenang, tiada apa yang dapat saya lakukan, saya tidak boleh terbang ke Dubai untuk dapatkan kembali basikal saya, masa agak suntuk, saya hanya perlu menunggu, saya juga percayakan mekanik saya untuk mencari penyelesaian untuk ‘bencana’ ini”, kata Pellaud.

Saingan LTdL 2024 akan memulakan kayuhannya esok dengan Pulau Langkawi menjadi lokasi peringkat pertama perlumbaan sejauh 96.5km.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini