Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
BINTULU: Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli membuktikan dia seorang pakar pecut unggul apabila berjaya memintas pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn pada saat akhir untuk bergelar pemenang peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL 2024) di Bintulu.
Dengan laluan terpanjang sejauh 199.3km bermula di Miri hari ini, tiga zon pecut dan satu zon pendakian ditawarkan di Suai (67.8km), Nyalau (114.7km) dan Kidurong (183.0km) selain satu zon pendakian di Bintulu (159.4km).
103 pelumba mengesahkan penyertaan untuk perlumbaan peringkat ketujuh hari ini dengan perlumbaan dijadulkan bermula lewat 15 minit berikuat hujan lebat yang melanda.
Sebaik bermula, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Andreas Miltiadis cuba membuat gerakan solo, namun ia hanya bertahan sehingga 10km awal.
Selepas itu, 5 pelumba termasuklah tiga pelumba tempatan, Muhd Nur Aiman Rosli dan Muhd Nur Aiman Zariff dari pasukan TSG selain pelumba kebangsaan, Yusri Shaari berjaya membentuk kumpulan pendahulu sebelum disertai Maris Bogdanovics dari pasukan Hengxiang untuk membentuk kumpulan 6 pelumba di hadapan.
Zon pecut satu di Suai, Aiman Rosli berjaya mendapatkan mata penuh, diikuti Yusri di tempat kedua.
Dan Aiman Rosli terus mempamer kayuhan bertenaga apabila turut menguasai zon pecut dua di Nyalau.
Berbaki 48km menuju penamat, kumpulan pecahan akhirnya ditangkap peloton besar.
Jose Manuel Diaz Gallego dari pasukan Burgos BH berjaya menguasai zon pendakian di Bintulu, sekaligus mengesahkan status rakan sepasukannya, Mario Aparicio Munoz sebagai raja bukit LTdL 2024.
Ada cubaan membuat pecahan menerusi pelumba kebangsaan Muhd Afiq Huznie Othman dengan Aiman Zariff yang turut mengekori rapat.
Aiman turut diangkat sebagai ‘most combative rider’ untuk peringkat ketujuh ini sebelum semua bergerak dalam kumpulan besar.
Pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa turut kembali mempamerkan taring apabila mengungguli zon pecut terakhir di Kidurong.
Dan seperti dijangka henjutan beramai-ramai berlaku dengan pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn melakukan henjutan pantas.
Bagaimanapun, De Kleijn dipintas di saat akhir oleh pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang ceria merakam kemenangan keduanya pada edisi kali ini.
De Kleijn terpaksa berpuas hati di tangga kedua, sementara rakan sepasukannya, Maikel Zijlaard ketiga.
Terbaik dalam kalangan pelumba tempatan, menerusi Aiman Rosli yang menamatkan aksi di tempat ke 22.
Apapun, penamat di Bintulu menyaksikan pelumba Burgos BH, Mario Aparicio Munoz sah diangkat sebagai raja bukit.
Sementara persaingan jersi oren raja pecut masih terbuka antara De Kleijn dan Malucelli yang hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata.
Manakala jersi hijau keseluruhan masih kekal milik pelumba DSM Firmenich PostNL, David Max Poole dengan kelebihan 13 berbanding seorang lagi pelumba JCL Team Ukyo, Thomas Pesenti.
Peringkat terakhir LTdL 2024 esok akan berlangsung di Bintulu sejauh 147.5km.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.