Tumpuan :
Sukan

LTDL 2024 – Arvid de Kleijn catat kemenangan kedua berturut-turut

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

MELAKA: Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn terus mendomasi perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL) selepas mengungguli peringkat klima perlumbaan dari Kuala Lumpur ke Melaka.

Perlumbaan hari ini membabitkan laluan sejauh 167.3km, menawarkan tiga zon pendakian di Ampang (10.3km), Bukit Hantu (23.0km) dan Bukit Mantin (68.9km) selain tiga zon pecut di Semenyih (45.5km), Seremban (78.1km) dan Rembau (100.3km).

Sebaik dilepaskan, beberapa pelumba cuba membuat pecahan, namun segera ditangkap kumpulan peloton.

Sehinggalah gerakan solo yang dibuat Andreas Miltiadis dari pasukan Terengganu Cycling (TSG) menyaksikan dia turut mengungguli zon pendakian satu di Ampang.

Sebaik ditangkap, sekumpulan 20 pelumba diketuai pemegang jersi hijau, David Max Poole dari pasukan DSM Firmenich PostNL membentuk kumpulan pendahulu.

Dan persaingan zon bukit dua di Bukit Hantu diungguli pelumba Burgos BH, Mario Aparicio dengan Poole cemerlang menguasai dua zon pecut di Semenyih dan Seremban selepas membuat pecahan bersama dua lagi pelumba, Simon Pellaud dari pasukan Tudor Pro Cycling dan Stefan de Bod dari pasukan EF Education Easypost.

Perlumbaan diberhentikan seketika berbaki 82km berikutan hujan lebat sebelum kembali bersambung dengan 3 pelumba di depan mengekalkan kelebihan 3 minit yang dimiliki.

Poole meneruskan dominasi dengan mengutip mata penuh di zon pecut tiga di Rembau.

Selepas itu, ketiga-tiga pelumba di tangkap peloton berbaki 35km terakhir, memberi isyarat, satu lagi henjutan beramai-ramai menuju penamat di Melaka.

Dan seperti dijangka, persaingan pakar-pakar pecut bermula dengan pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn muncul pelumba terpantas, merakam kemenangan kedua berturut-turut pada saingan kali ini.

Ketiadaan jaguh-jaguh pecut Malaysia pula menyaksikan Muhd Nur Aiman Rosli dari pasukan TSG menjadi pelumba terbaik tempatan di tempat ke 21.

Dalam pada itu, pemilik keempat-empat jersi utama kekal seperti semalam dengan Manabu Ishibasi dari pasukan JCL Team Ukyo kekal memegang jersi putih terbaik Asia.

Matteo Malucelli juga dari pasukan JCL memyarung jersi oren pecut, manakala Mario Aparicio, Burgos BH dengan jersi polka-dot raja bukit.

Jersi keseluruhan juga menyaksikan pelumba DSM Firmenich PostNL, David Max Poole terus mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan 12 saat berbanding pencabar terdekat, Jose Manuel Diaz Gallego dari pasukan Burgos BH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini