KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan tetap diteruskan seperti dirancang meskipun carian di laman sesawang Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) menyaksikan perlumbaan berprestij itu tidak lagi berada dalam kalendar badan induk dunia itu bagi tahun ini.
Keyakinan itu dinyatakan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yang turut menyatakan dirinya akan ke Glasgow dalam tempoh dua hari lagi bagi menghadiri mesyuarat bersama UCI dan pertemuan itu bakal memberi peluang mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan ketiadaan LTdL 2023 dalam kalendar.
“Kita ada mesyuarat pengurusan majlis di sana (Glasgow). Saya akan pergi ke sana termasuk untuk Kejohanan Dunia juga. Saya akan cek mengenainya (sebab LTdL tiada dalam kalendar UCI) di sana,” kata Amarjit ketika dihubungi.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab pernah menyatakan kebimbangannya mengenai LTdL yang berkemungkinan tidak akan dapat dianjurkan lagi pada tahun depan.
Ia berikutan isu bayaran tertunggak oleh pihak penganjur sebelum ini yang didakwa masih belum diselesaikan dan ternyata apa yang dibimbangkan itu, hadir lebih awal daripada jangkaan Abu Samah.
Abu Samah ketika majlis pelancaran LTdL 2023 pada 4 Julai lalu mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.
Jumlah berkenaan katanya, tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.
Untuk rekod, Human Voyage (M) Sdn Bhd adalah penganjur LTdL 2022 selepas turut menganjurkan saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu bermula dari tahun 2019.
“Apa yang saya tahu, seperti Datuk Abu Samah beritahu (sebelum ini), UCI ada tulis beberapa hutang yang perlu dibayar dan kalau tidak, ia akan meninggalkan impak untuk pendaftaran 2024. Apapun, kita tunggu dan lihat.
“Saya pasti perlumbaan akan berlangsung. Ada dalam kalendar atau tidak dalam kalendar, perlumbaan akan tetap diteruskan untuk tahun 2023. Itu pasti. Namun mengenai kenapa tak ada dalam kalendar atau apa, itu saya perlu periksa.
“Saya tak tahu sebabnya tapi biar saya bertemu empat mata untuk dapatkan gambaran jelas mengenainya di sana nanti,” katanya.
LTdL 2023 dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September ini dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan yang merentasi 11 negeri di semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan kayuhan sejauh 1,280 kilometer.