Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KOTA BHARU: Pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa ceria mengungguli perlumbaan peringkat kedua Le Tour De Langkawi 2023 selepas menawan penamat di Kota Bharu, Kelantan.
Perlumbaan yang bermula di Drawbridge Kuala Terengganu hari ini membabitkan laluan sejauh 186.2km, menawarkan tiga zon pecut di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon bukit di Setiu dan Pelong.
128 pelumba memulakan kayuhan hari ini dengan persaingan bermula selepas melalui 6.1km zon neutral.
Walaupun ada cubaan untuk membuat pecahan, kawalan kemas dilakukan peloton besar sehinggalah pada kilometer ke 38 apabila 4 pelumba berjaya membentuk kumpulan pendahulu sebaik melepasi zon pecut di Bukit Nenas.
Mereka kemudiannya disertai dua lagi pelumba, Luke Mudgway dari pasukan Bolton Equities Black Spoke dan pelumba Human Powered Health, Gijs Van Hoecke.
Tumpuan terarah kepada dua zon bukit di Setiu dan Pelong menyaksikan pelumba Terengganu Polygon, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki berjaya mengutip mata penuh, dijangka akan merampas jersi polka dot dari rakan sepasukan, Muhd Nur Aiman Zariff.
Selepas itu, hanya tiga pelumba meneruskan persaingan sebelum hanya Calum Johnston dari pasukan Caja Rural-Seguros RGA bergerak secara solo.
Namun, berbaki 20 km terakhir, pelumba-pelumba mula bergerak dalam satu kumpulan besar.
Dan henjutan beramai-ramai berlangsung menuju penamat di Kota Bharu dengan pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa ceria bergelar pemenang.
Kemenangan yang diraih Syritsa cukup melegakannya selepas sekadar berada di tempat ketiga semalam.
“Ia kemenangan pertama saya musim ini, saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia, kerana tempat menarik, sebuah negara yang menarik.
“Semalam saya melakukan kesilapan, mula memecut di 300m terakhir menuju penamat, ia semakin panas, tetapi hari ini (adalah pecutan yang anda mahukan), ya” kata Syritsa selepas perlumbaan.
Pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn bagaimanapun masih kekal memegang jersi hijau keseluruhan selain jersi oren raja pecut.
Peringkat ketiga esok, akan bermula di Jeli, Kelantan menuju ke Baling, Kedah membabitkan jarak sejauh 183.1km
| ARTIKEL BERKAITAN