Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
MUAR: Masih ada harapan buat pelumba-pelumba tempatan untuk mencari penamat podium pada baki dua peringkat perlumbaan Le Tour De Langkawi 2023.
Perlumbaan peringkat ketujuh hari ini akan memulakan kayuhan dari Muar, Johor menuju ke Seremban 2 di Negeri Sembilan sejauh 123.8km.
Tiada mata zon bukit ditawarkan hari ini, hanya tiga zon pecutan menjadi rebutan pelumba-pelumba bermula di Umbai (28.6km), Cheng (47.8km) dan Linggi (91.0km).
Bermakna, persaingan masih terbuka untuk mata jersi oren raja pecut yang kini masih dipegang pelumba pasukan Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn.
De Kleijn kini mengumpul 45 mata, manakala pelumba Green Project Bardiani CSF, Enrico Zanoncello di tempat kedua dengan 36 mata.
Peringkat keenam semalam, perlumbaan kembali berlangsung di laluan landai selepas penamat kategori hors di Genting Highlands.
Ruang juga masih terbuka untuk pelumba-pelumba tempatan untuk merebut penamat podium pada baki dua peringkat perlumbaan ini.
Antara yang menjadi sandaran, pelumba pasukan kebangsaan iaitu Muhd Nur Aiman Rosli, sementara kelibat pelumba Terengganu Polygon, Muhd Harrif Saleh masih dinanti untuk mempamerkan kehebatannya.