Tumpuan :
Sukan

LTDL 2023: Kota Bharu destinasi penamat peringkat kedua

Muhd Nur Aiman Zariff.- Foto: Le Tour De Langkawi 2023

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA TERENGGANU: Penamat di Kota Bharu, Kelantan menjadi destinasi peringkat kedua perlumbaan Le Tour De Langkawi 2023 dengan pelumba-pelumba akan dilepaskan di ‘Drawbridge’ Kuala Terengganu membabitkan laluan sejauh 186.2km.

Seperti hari pertama semalam, saingan hari ini turut menawarkan tiga zon pecut di Bukit Nenas (34.6km), Bandar Permaisuri (87.4km) dan Peringat (173.2km) selain dua zon bukit kategori 4 di Setiu (49.3km) dan Pelong (56.8km).

Perlumbaan hari ini akan dilepaskan tepat jam 10 pagi dengan pelumba-pelumba akan melalui jarak 6.1km zon neutral sebelum saingan bermula.

Tumpuan perlumbaan hari ini pastinya terarah kepada pemegang jersi hijau keseluruhan, Arvid De Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling yang memenangi peringkat pertama di penamat Kuala Terengganu semalam.

Selain itu, De Kleijn turut memegang jersi Oren selaku raja pecut, namun ia akan dipakai pelumba tangga kedua, Sasha Weemaes dari pasukan Human Powered Health.

Manakala jersi Putih terbaik Asia akan dipakai oleh pelumba pasukan Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan.

Bagaimanapun, harapan tinggi diletakkan kepada pelumba Terengganu Polygon, Muhd Nur Aiman Zariff yang kini akan memakai jersi Polka Dot selaku raja bukit.

Dan pastinya dua pendakian kategori 4 di Setiu dan Pelong menjadi sasaran untuk Aiman terus mengekalkan gelaran raja bukit selepas tamat peringkat kedua nanti.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini