Tumpuan :
Sukan

LTDL 2023: KLCC destinasi penamat edisi ke 27

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

SETIA ALAM: Perlumbaan Le Tour De Langkawi 2023 bakal melabuhkan tirainya hari ini dengan peringkat terakhir perlumbaan akan bermula di Setia Alam menuju ke penamat di Menara Berkembar Petronas, KLCC sejauh 156.5km.

Dua zon bukit kategori empat ditawarkan hari ini di Puncak Alam (15.4km) dan Meru (19.4km).

Manakala tiga zon pecut menjadi rebutan bermula di Kapar (32.2km), Sungai Buloh (49.9km) dan Paya Jaras (119.4km).

Tumpuan pastinya terarah kepada pelumba EF Education Easypost, Simon Carr yang merupakan pemegang jersi hijau keseluruhan.

Kelebihan 49 saat yang dimiliki sudah tentu sukar untuk dicabar dengan posisi kedua turut diisi rakan sepasukan, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz.

Sementara itu, bagi perebutan jersi oren raja pecut, pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn dengan jumlah 63 mata manakala Sascha Weemaes dari pasukan Human Powered Health di tempat kedua dengan 48 mata.

Persaingan jersi polka dot raja bukit pula, penguasaan Simon Pellaud juga dari pasukan Tudor Pro Cycling sudah tidak boleh dicabar lagi dengan jumlah 32 mata.

Begitu juga dengan jersi putih terbaik Asia, kedudukan Vadim Pronskiy dari pasukan Astana Qazaqstan bagai sudah terjamin dengan kelebihan 2 minit yang dimiliki.

Memang agak sukar untuk menyaingi mana-mana pemegang jersi pada peringkat terakhir hari ini, namun, peluang untuk menaiki podium masih terbuka buat mana-mana pelumba menerusi kemenangan peringkat selain gelaran ‘most combative rider’.

Bermakna, harapan masih diletakkan kepada pelumba-pelumba tempatan untuk cuba mencipta sesuatu di penamat KLCC nanti.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini