Tumpuan :
Sukan

LTDL 2023: Jersi hijau kini milik Jackson, Babor cemerlang di penamat Meru Raya

 

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

MERU RAYA: Pelumba Caja Rural Seguros RGA, Daniel Babor lakar kemenangan sensasi selepas mengungguli peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi 2023 hari ini.

Peringkat keempat dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke bandar Meru Raya di Perak membabitkan laluan agak pendek berbanding tiga peringkat sebelum ini dengan jarak sejauh 140.2km.

Dan kali ini, fokus perlumbaan lebih terarah kepada persaingan jersi oren raja pecut menerusi tiga zon pecutan yang ditawarkan di Bagan Serai, Talang dan juga Sungai Siput selain satu zon bukit kategori tiga di Kuala Kangsar.

8 pelumba berjaya membuat pecahan 7km selepas persaingan melalui zon neutral.

Dengan laluan yang agak landai, rata-rata pelumba tampil dengan kayuhan bertenaga dengan persaingan di tiga zon pecut menyaksikan Ratchanon Yaowarat dari pasukan Thailand Continental mengungguli zon pecut di Bagan Serai dan Yatan Thanachat dari pasukan Roojai Insurance memenangi zon pecut di Talang.

Manakala Choi Donghyuk dari pasukan KSPO Professional mencuri mata pecut di Sungai Siput.

Selepas itu, tiga pelumba meneruskan pecutan dan memimpin perlumbaan dan ini termasuklah pelumba negara yang menyarung jersi pasukan Nusantara, Afiq Huznie Othman.

Bagaimanapun, berbaki 6km terakhir, sekali lagi perlumbaan berlangsung dalam satu kumpulan besar.

Dan henjutan beramai-ramai di Meru Raya menyaksikan pelumba Caja Rural Seguros RGA, Daniel Babor gah bergelar pemenang peringkat keempat perlumbaan.

Tiada perubahan untuk pemenang jersi oren raja pecut dan jersi polka dot raja bukit yang masih kekal milik pelumba pasukan Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn dan Simon Pellaud.

Sementara jersi putih terbaik asia bertukar tangan, kini dipegang Ratchanon selepas kejayaannya mengutip masa bonus.

Jersi hijau pendahulu keseluruhan pula dirampas pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson.

Esok, peringkat paling mencabar, pendakian kategori hors di Genting Highlands bermula di Slim River sejauh 126.4km.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini