Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
GENTING HIGHLANDS: Pelumba EF Education Easypost, Simon Carr gah menawan penamat kategori hors di Genting Highlands secara solo.
Sekaligus menyaksikan dia kini bergelar pendahulu keseluruhan selepas mencatat mata terpantas.
Perlumbaan hari ini bermula di Slim River, Perak menuju ke Genting Highlands dengan jarak sejauh 126.4km
Sebaik melepasi zon neutral, empat pelumba berjaya membuat pecahan awal dan ini termasuklah pelumba Terengganu Polygon, Muhd Nur Aiman Zariff.
Namun, memasuki kilometer ke 26, mereka ditangkap kumpulan pengejar, kali ini 8 pelumba membentuk kumpulan pendahulu dengan seorang lagi pelumba Terengganu Polygon, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki berjaya menempatkan diri dalam kumpulan berkenaan.
Berbaki 24km terakhir, hanya dua pelumba meneruskan kayuhan dalam kumpulan breakaway dengan Amirull berjaya ditangkap peloton besar.
Menuju zon bukit kategori satu di Bentong, pelumba pasukan Tudor Pro Cycling, Simon Pellaud gah mengutip mata penuh, mengukuhkan lagi kedudukannya selaku pemegang jersi polka dot menerusi tambahan 10 mata.
Kumpulan chaser kemudian menangkap Pellaud sebelum pelumba EF Education Easypost, Simon Carr bergerak secara solo meninggalkan kumpulan pendahulu berbaki 3 kilometer terakhir.
Langsung tidak dicabar, Carr ceria menamatkan perlumbaan ditempat pertama, diikuti rakan sepasukan, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz di tempat kedua.
Bagi Carr, ia kemenangan cukup bermakna, menginspirasikan kejayaannya buat datuknya, Tony Carr yang baru saja meninggal dunia Isnin lalu.
“Kemenangan ini memang cukup bermakna buat diri saya bukan hanya kerana perlumbaan ini saja, saya turun dengan motivasi cukup tinggi untuk menang, datuk saya (Tony Carr) baru saja meninggal dunia Isnin lalu, dia adalah peminat utama saya, memang saya sangat mahukan kemenangan di peringkat ini,” kata Carr.
Kejayaan Carr menawan puncak Genting Highlands turut menyaksikan dia merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 49 saat berbanding rakan sepasukan, Cepeda Ortiz di posisi kedua.
Jersi polka dot raja bukit pula masih kekal milik Simon Pellaud dari pasukan Tudor Pro Cycling, sementara rakan sepasukan, Arvid De Kleijn juga kekal dengan jersi oren raja pecut.
Sementara jersi putih terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Astana Qazaqstan, Vadim Pronskiy.
Terbaik dalam kalangan pelumba Malaysia pula menerusi pelumba pasukan kebangsaan, Muhd Shaiful Adlan Muhd Shukri.
“Bagi saya, saya berpuas hati sebabnya kalau tengok peringkat ketiga dari Jeli ke Baling memang cuba dapatkan jersi Asia, tapi malangnya 30km terakhir tu saya mengalami kecederaan kaki, dan tidak dapat meneruskan perlumbaan sampai habis, jadi hari ini saya berpuas hatilah untuk sampai ke Genting”, kata Shaiful Adlan.
Tamat lima peringkat perlumbaan, saingan diteruskan lagi dengan peringkat keenam esok bermula di Karak, Pahang menuju ke Melaka sejauh 174.5km.
| ARTIKEL BERKAITAN
-
LTDL 2023: 128 pelumba mulakan aksi peringkat pertama
-
LTDL 2023: De Kleijn ungguli penamat di Kuala Terengganu, Aiman sarung jersi Raja Bukit
-
LTDL 2023: Kota Bharu destinasi penamat peringkat kedua
-
Van LTdL bawa tiga pelumba terbalik, tiada kecederaan serius
-
Senarai 22 pasukan sertai LTDL 2023 lengkap
-
LTDL 2023: Zanoncello rampas jersi hijau, Aiman Rosli terbaik Asia
-
LTDL 2023: Peringkat keempat kembali ke laluan landai
-
LTDL 2023: Jersi hijau kini milik Jackson, Babor cemerlang di penamat Meru Raya
-
LTDL 2023: ‘Queen Stage’ ke Genting Highlands cabar kemampuan pelumba