Tumpuan :
Sukan

LTDL 2022 – Kayuhan Ke Genting Highlands Beri Cabaran Berbeza

Foto: TSG

RAUB – Pendakian kategori hors menuju ke penamat di Genting Highlands hari ini menjadi tarikan utama pada perlumbaan Le Tour de Langkawi kali ini.

Manakan tidak, kehadiran ramai jaguh-jaguh pendakian yang membarisi pasukan World Tour pastinya bakal menyaksikan pertarungan sengit mereka untuk mengungguli “Queen Stage” bagi perlumbaan LTdL kali ini.

Taruhan Malaysia semestinya terarah kepada pasukan Terengganu Polygon, TSG menerusi penampilan dua pelumba, Nur Aiman Muhd Zharif dan pelumba kelahiran Mongolia, Jambaljambt Sainbayar.

Aiman kini menghuni tangga teratas kategori bukit selepas mengumpul 17 mata keseluruhan tamat dua peringkat perlumbaan.

Dana pastinya, aksi peringkat ketiga hari ini bakal menguji kemampuan sebenar Aiman untuk terus memegang jersi merah raja bukit.

“Sebelum naik genting tu ada dua KOM kat bawah, jadi saya akan cuba buat macam hari ini (semalam), saya akan buat pecahan dahulu, saya nak ambil mata di kedua-dua zon bukit awal tu untuk bagi selesa kedudukan saya untuk jersi bukit ni.

“Bergantung kepada keadaan hari ini macam mana, ada dua kategori hors, jadi kalau pelumba dari pasukan Pro Tour dapat ambil dua-dua kategori hors itu, dia dapat 30 mata jadi kalau saya menang yang kedua dapat 12 mata saja, jadi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Selain Aiman, rakan sepasukan, Sainbayar turut mengumpul 17 mata bagi kategori bukit, namun fokus utama pelumba kelahiran Mongolia itu terarah kepada penguasaan jersi putih Terbaik Asia yang pernah dimenangi pelumba negara, Adiq Husaini Othman pada perlumbaan LTdL edisi 2016.

Peringkat ketiga perlumbaan yang akan bermula di Putrajaya dan menuju ke Genting Highlands sejauh 123.7km menawarkan tiga zon pecutan di Semenyih, Ampang Jaya dan Taman Melati.

Turut menjadi rebutan, mata zon bukit kategori dua di Bukit Hantu dan Look Out Point, namun kemuncaknyanya adalah pendakian kategori hors di Gohtong Jaya dan penamat di Genting Highlands.

Pelumba yang memenangi peringkat ini dijangka akan mengukuhkan posisi di kedudukan carta pelumba untuk gelaran juara keseluruhan.

Loading...
Terkini