LIVERPOOL: Liverpool menepati ramalan apabila mudah mengatasi pasukan divisyen keempat, Accrington Stanley dengan kemenangan 4-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, hari ini.
Diogo Jota dan Trent Alexander-Arnold masing-masing menjaringkan gol pada babak pertama sebelum jaringan Jayden Danns dan Federico Chiesa menjamin kemenangan selesa buat pasukan.
Liverpool membuka tirai jaringan apabila Alexander-Arnold melorongkan bola kepada Darwin Nunez di sebelah kanan sebelum pemain Uruguay itu membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Jota pada minit ke-29.
Gol kedua hadir pada minit ke-45 menerusi rembatan cantik Alexander Arnold dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke penjuru atas gawang lawan.
Pada babak kedua, pemain muda Danns menambah gol ketiga pada minit ke-76, hanya empat minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Chiesa melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool dengan jaringan pada minit ke-90.
Liverpool dijadual menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Rabu ini. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.