LIVERPOOL: Liverpool mengatasi Fulham 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga, selepas ketinggalan pada separuh masa pertama.
Fulham yang mara ke separuh akhir Piala Liga buat pertama kali, mendahului menerusi Willian di Anfield.
Namun dua gol dalam tempoh tiga minit di babak kedua daripada Curtis Jones dan Cody Gakpo memberikan The Reds kelebihan menjelang aksi timbal balik di Craven Cottage pada 24 Januari.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kini sudah 14 kali dibolosi terlebih dahulu musim ini, tetapi bangkit memenangi tujuh daripadanya dan seri tiga kali.
“Ia adalah mentaliti dalam kumpulan ini, di dalam kelab, di dalam kota. Setiap orang begini. Terus berusaha tanpa mengira apa yang terjadi.
“Kami sekali lagi membuktikannya hari ini. Jika anda mempunyai mentaliti sebegitu, banyak perkara indah boleh berlaku,” kata Gakpo.
Liverpool turun tanpa kelibat Mohamed Salah yang bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika, manakala Trent Alexander-Arnold antara pemain terbaru yang menyertai senarai kecederaan.
Fulham bermula baik apabila Willian membuka jaringan pada minit ke-19 dan berpeluang menambah jaringan di babak kedua, tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Liverpool akhirnya menyamakan kedudukan selepas percubaan jarak jauh Jones terkena Tosin Adarabioyo dan menewaskan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Juara sembilan kali Piala Liga, Liverpool memastikan kemenangan sejurus kemudian apabila hantaran rendah Darwin Nunez disempurnakan Gakpo.
Nunez berpeluang menambah jaringan tetapi tiga percubaannya dalam tempoh 20 minit terakhir dinafikan oleh Leno.
Liverpool kekal menjadi pilihan utama mara ke final di Wembley menentang sama ada Middlesbrough atau Chelsea bulan depan.
Fulham bagaimanapun mempunyai harapan apabila beraksi di laman sendiri nanti dengan kelebihan satu gol di tempat lawan. – AFP