SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali merasai nikmat kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 1-2, kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan ketiga direkodkan skuad Hobin Jang Hobin selepas melalui sembilan perlawanan.
KDA FC mendominasi seawal minit pertama perlawanan dan memperoleh gol sulung pada minit ke-25 menerusi tandukan penyerang import, Wiliam Lira hasil daripada sepakan sudut.
Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila NSFC menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi sepakan deras Zainal Abidin Jamil dari jarak kira-kira 30 meter.
Tuan rumah berpeluang menambah satu gol lagi pada minit ke-40, namun Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi gagal memanfaatkan peluang terbabit meskipun bekas penyerang kebangsaan itu hanya berdepan dengan penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti persembahan dalam usaha menambah jaringan.
KDA FC menambah jaringan apabila Lira yang menanduk kemas gol kedua pada minit ke-72, selepas memanfaatkan bola hantaran lintang Lee Tuck.