Tumpuan :
Sukan

Lima pelumba bawa  cabaran Malaysia pada saingan FIM MiniGP World Series

 

FOTO: MAM

SEPANG: Malaysia akan kembali ke pentas berprestij Final FIM MiniGP World Series di Valencia, Sepanyol minggu hadapan dengan gandingan lima pelumba FIM MiniGP Malaysia Series.

Pelumba negara yang berlepas ke Valencia sebentar tadi, akan diwakili oleh Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra yang akan menggantikan Farres Putra yang mengalami kecederaan semasa perlumbaan Asia Talent Cup minggu lepas bagi kategori 190cc, manakala Qabil Irfan dan Airel Marzuki dalam  kategori 160cc.

Saingan yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, akan menentukan siapakah akan bergelar juara dunia bagi FIM MiniGP World Series anjuran Dorna, promoter kejuaraan MotoGP.

FOTO: MAM

 

Kejuaraan yang dijadual bermula pada 21 November dengan latihan bebas dan bersaing menggunakan jentera Ohvale, sesi kelayakan akan diadakan pada 22 November sebelum perlumbaan berlangsung pada 23 November, untuk menobatkan juara dunia musim  2023 bagi kedua-dua kelas 190cc dan 160cc.

Bersaing dalam kelas 190cc yang diperkenalkan untuk musim 2023, ini adalah pengalaman kedua  ke World Finals bagi Farish Hafiy, Emil Idzhar, dan Adi Putra yang pernah bersaing dalam kategori 160cc sebelum ini.

FOTO: MAM

 

Manakala Qabil Irfan, yang berusia 11 tahun menjadi sandaran utama negara untuk saingan kelas 160cc pada tahun ini, juga kembali untuk kali kedua selepas prestasi memberangsangkan tahun lepas dengan menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.

FOTO: MAM

Bagi pelumba Airel Marzuki dan ini adalah  kejuaraan sulung peringkat dunia selepas memenangi tiket untuk kejuaraan dunia, yang menghimpunkan pelumba terbaik dari kejuaraan siri MiniGP.

Mengulas penyertaan negara pada FIM MiniGP World Series Final tahun ini, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata kelima-lima pelumba bakal bersaing dengan berbekalkan persiapan rapi dan pengalaman lebih mendalam bagi memastikan keputusan yang membanggakan tahun ini.

Loading...
Terkini