Tumpuan :
Sukan

Lima kategori tiket ditawarkan untuk final Piala FA

Foto poster final Piala FA

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima kategori tiket akan dijual bagi perlawanan akhir Piala FA antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada 22 Julai ini.

Perlawanan akan berlangsung di gelanggang tuan rumah JDT, Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, pada jam 9 malam.

Lima kategori tiket itu yang akan diagihkan secara sama rata kepada kedua-dua pasukan adalah General Admission berharga RM50; FA Cup Grandstand (RM100); FA Cup Premium (RM150); MFL Premium (RM150) dan MFL Grandstand (RM200).

Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL)  penetapan harga tiket berdasarkan kategori ditetapkan itu adalah sama seperti yang dilakukan badan itu pada perlawanan akhir mana-mana kejohanan Piala FA dan juga Piala Malaysia sebelum ini.

Tambah MFL, ia juga memberikan lebih pilihan buat penyokong untuk hadir ke stadium.

MFL turut menyerahkan sepenuhnya kepada JDT dan KL City dalam menguruskan proses penjualan tiket final Piala FA kepada penyokong masing-masing.

“Pihak JDT dan KL City akan memaklumkan cara penjualan tiket kepada penyokong mereka namun dengan persetujuan bersama kedua-dua pasukan, sekiranya ada pasukan yang gagal menjual kesemua tiket yang diperuntukkan itu, maka baki tiket berkenaan akan dijual kepada umum,” menurut MFL.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri mempunyai kapasiti 40,000 orang penonton.

– BERNAMA

Loading...
Terkini