comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: Sri Pahang raih kemenangan di tempat lawan

FOTO: Sri Pahang FC

GEORGE TOWN: Pasukan Sri Pahang FC berjaya menundukkan Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, sebentar tadi.

Kemenangan buat kali ketiga itu pertama kali diraih di gelanggang lawan selepas mengharungi 12 perlawanan dengan mengutip 14 mata, musim ini.

Minit awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang namun, pasukan pelawat dilihat semakin selesa dan menguasai padang berbanding kem tuan rumah yang cenderung lebih banyak bertahan.

Babak pertama menyaksikan anak buah Fandi Ahmad lebih banyak melakukan serangan dengan 11 percubaan termasuk lima percubaan tepat menuju gawang lawan.

Manakala, Penang sekadar mencipta dua percubaan berbahaya dalam usaha membolosi benteng kawalan Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Penantian berakhir, apabila penyerang import dari Ukraine, Mykola Ahapov meledak gol tunggal Sri Pahang dalam masa kecederaan babak pertama hasil hantaran lintang, Sergio Aguero.

Bersambung babak kedua, penyerang berbisa Kpah Sherman hampir meledak gol kedua buat Sri Pahang pada minit ke-54.

Malangnya, bola tandukannya yang sudah mencecah jaring tidak dikira selepas dia dikesan pengadil, Muhammad Munir Mohd Izam menolak pemain tuan rumah dengan semakan VAR kemudiannya turut tidak mengesahkan gol berkenaan.

Penang kelihatan terdesak menyamakan kedudukan termasuk tandukan lambung Adib Ra’op pada minit ke-51 dan hantaran rendah Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-65, namun mudah ditepis Muhammad Zarif Irfan.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya.

Keputusan itu turut menyaksikan, skuad Harimau Kumbang ‘jatuh’ satu anak tangga ke kedudukan ke-11, manakala Sri Pahang kekal menghuni tangga kesembilan liga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini