comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: Sri Pahang, KL City & PDRM kembali catat kemenangan

Foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR: Sri Pahang FC kembali mencatat kemenangan pada aksi ke-20 Liga Super apabila menewaskan Kelantan United FC 5-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad terlebih dahulu menyingkap gol pembukaan menerusi jaringan jarak jauh yang dihasilkan Azrif Nasrulhaq pada minit ke-10.

Minit ke-23, Sergio Aguero menggandakan jaringan sebelum pemain naturalisasi kebangsaan itu sekali lagi mencetak gol ketiga pelawat, empat minit berselang.

Bersambung babak kedua, pelawat tambah selesa apabila giliran Kpah Sherman meledak gol keempat, minit ke-66.

Sekalipun Kelantan United merapatkan jurang gol melalui sepakan Royizzat Daud minit
ke-77, pesta gol Sri Pahang diteruskan David Rowley dengan gol kelima pada penghujung permainan.

Foto Facebook FAM

Kemenangan itu meletakkan Sri Pahang kekal di tangga kelima dengan 40 mata manakala Kelantan United menghuni tangga ke-12 dengan lapan mata.

Sementara itu di Stadium Perak, Ipoh, Perak FC gagal memanfaat peluang apabila tewas 0-4 kepada Kuala Lumpur City FC.

Pelawat kendalian Nenad Bacina membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi penyudah Tchetche Kipre.

Bersambung selepas rehat, hanya dua minit diperlukan pelawat untuk menggandakan jaringan melalui tandukan Sebastian Avanzini yang menyudahkan sepakan sudut Paulo Josue.

Minit ke-55, giliran Josue mencetak nama selaku penjaring ketiga KL City disusuli Sean Gianelli menambah derita tuan rumah dengan penyudah kemas di hadapan gol, tiga minit sebelum tamat masa permainan.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, KL City kekal di tangga ketujuh dengan 31 mata manakala Perak bimbingan Yusri Che Lah berada di tangga ke-11 dengan 16 mata.

Terdahulu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, PDRM FC ceria mengutip tiga mata pada aksi ke-19 selepas menundukkan Penang FC 3-0.

Bagaimanapun PDRM terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk memecah kebuntuan menerusi gol Ousmane Fane yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Minit ke-73, James Okwuoso menanduk masuk gol kedua sebelum rembatan jauh Bruno Suzuki menerjah gawang pelawat buat kali ketiga pada penghujung permainan.

Kemenangan itu masih meletakkan PDRM di tangga kelapan dengan 27 mata manakala Penang yang tewas buat kali kelima berturut-turut berada di tangga ke-10 dengan 19 mata.

Loading...
Terkini