Tumpuan :
Sukan

Liga Super: Sabah rampas kedudukan Selangor

Foto MFL

KUALA LUMPUR: Sabah merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Selangor selepas menewaskan Kuching City 2-1 di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Sabah terikat 29 mata dengan Selangor, namun skuad Sang Badak yang sudah beraksi lebih satu perlawanan berbanding Gergasi merah memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan.

Pada aksi sebentar tadi, babak pertama berakhir tanpa jaringan selepas Kuching City dan Sabah gagal menghasilkan gol meskipun memiliki beberapa peluang terhidang.

Darren Lok hampir meletakkan Sabah di depan pada minit ke-65, namun tandukan penyerang kebangsaan itu sekadar singgah di palang gol Kuching City.

Hanya seminit kemudian, kekecewaan itu berjaya ditebus Saddil Ramdani apabila sepakan percumanya menewaskan penjaga gol Kuching City, Shahril Sa’ari.

Zahrul Nizwan menyamakan kedudukan buat Kuching City pada minit ke-82, namun empat minit kemudian kedudukan itu berubah lagi apabila Gabriel Peres berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Farhan Roslan pada untuk kembali meletakkan Sabah di depan.

Drama terus berlaku pada penghujung perlawanan yang menyaksikan Peres dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan, tetapi ia tidak menjejaskan Sabah untuk membawa pulang tiga mata.

Selangor ketika ini terbabit dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan skuad Gergasi Merah akan menentang wakil Filipina, Cebu FC, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini