comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: Sabah raih kemenangan di laman sendiri

Pemain Sabah FC, Kwang Min Ko (tengah) mengawal bola dari keluar garisan permainan ketika diasak pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Mohamad Ikhwan Yazek dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini.

KOTA KINABALU: Sabah FC menepati sasaran untuk kembali memenangi perlawanan di laman sendiri selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.

Gol pertama Sang Badak dijaringkan pada minit ke-13 oleh Daniel Ting manakala gol kedua menerusi sepakan penalti Mohd Jafri Chew pada minit ke-80.

Sabah dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import Sabah, Telmo Castanheira dijatuhkan pertahanan NSFC, Zainal Abidin Jamil di kawasan kotak penalti.

Pada babak pertama, Daniel membuka jaringan untuk Sabah selepas menerima hantaran Telmo Castanheira untuk Sang Badak mendahului 1-0.

Jaringan itu kekal hingga tamat babak pertama berikutan kegagalan pemain Sabah melakukan serangan tepat meskipun mempunyai beberapa peluang yang baik.

NSFC turut berpeluang melakukan beberapa cubaan menarik sepanjang babak pertama terutama menerusi penyerang tengahnya, Takumi Sasaki, namun gagal menembusi gawang tuan rumah yang dikawal dengan baik penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Berbekal jaringan tipis 1-0, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee memiliki kelebihan untuk meneruskan aksi dengan yakin bagi menambah gol pada separuh masa kedua.

Namun, serangan yang agak tumpul dan cubaan yang tidak menepati sasaran membuatkan tuan rumah buntu untuk menambah jaringan sehinggalah insiden penalti pada minit ke-80 yang akhirnya melebarkan jaringan Sabah kepada 2-0.

Pihak lawan pula terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah pada minit ke-65 atas kesalahan menerjah kaki pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman yang baru dibawa masuk pada babak kedua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini