comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: Sabah naik ke tangga ke-3, masih belum ada sasaran sebenar

Aksi pemain Sabah FC, Joao Pedro (kiri) ketika menjaringkan gol kedua skuad Sang Badak menentang Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee belum mahu memikirkan sasaran khusus yang ingin dicapai skuad kendaliannya selepas kembali menduduki tangga ketiga dalam carta Liga Super musim ini.

Beliau berkata, masih lagi awal untuk memikirkan soal kedudukan pasukan dalam carta liga memandangkan perlawanan Liga Super masih pada pertengahan musim.

Katanya, tumpuan beliau ketika ini adalah untuk memastikan pemain kekal konsisten dalam setiap perlawanan bagi mengekalkan atau memperbaiki kedudukan pasukan.

“Tapi yang penting ialah kita perlu memastikan setiap perlawanan kita bermain secara konsisten dan mendapatkan keputusan yang baik,” katanya selepas menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi.

Skuad Sang Badak kembali menduduki tangga ketiga carta liga dengan mengumpul 23 mata, berada di belakang Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebelum ini, kedudukan Sabah jatuh hingga ke tangga kelima dan keenam, tetapi naik semula selepas melakar kemenangan hatrik ketika menentang Perak FC dan Penang FC di tempat lawan, dan membenam KDA FC 5-2 di Likas, malam tadi.

Mengulas keputusan itu, Kim Swee menyifatkan ia sesuatu yang cukup baik kepada skuad Sang Badak, namun mengakui ia bukan laluan yang mudah bagi pasukannya.

“Dari segi permainan, mereka (Kedah) mengawal permainan dengan begitu baik di mana kita gagal mengekalkan rentak apabila mendahului, kecuali apabila kita mendapat gol ketiga dan keempat.

“Itu yang kita harus perbaiki apabila kita dibolosi selepas mendahului,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini