KOTA BHARU: Empat gol jaringan Rodrigo Da Silva membuatkan tuan umah, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus mencatat kekalahan apabila dibelasah Penang FC dengan keputusan 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Rodrigo membuka tirai jaringan buat Penang FC pada minit ke-29 hasil sepakan ‘bicycle kick’ berpunca daripada hantaran sepakan penjuru.
KDN FC bagaimanapun mengejutkan skuad Harimau Kumbang yang dikendalikan oleh Wan Rohaimin Wan Daud apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34 hasil rembatan leret Muhammad Shahir Ab. Rashid yang tepat ke penjuru kanan gawang pelawat.
Nik Akif Syahiran Nik Mat memastikan Penang FC kembali mendahului apabila rembatannya menuju tepat ke dalam gawang tuan rumah pada minit ke-42 sebelum kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan dengan kedudukan 2-1.
Bermula babak kedua, Penang FC tampil menguasai sebahagian besar perlawanan.
Pada minit ke-67 skuad Harimau Kumbang berjaya menjarakkan jurang jaringan hasil rembatan Rodrigo yang menewaskan Mohammad Fikri Che Soh untuk gol ketiga pelawat.
Penang FC dihadiahkan sepakan penalti pasa minit ke-82 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran dalam kawasan kotak penalti tuan rumah.
Peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh Rodrigo apabila dengan mudah menewaskan penjaga gol bagi gol keempat pelawat sekali gus melengkapkan jaringan hatriknya.
Penang FC terus menambah derita KDN FC melalui dua jaringan pada masa kecederaan hasil jaringan Dylan Christopher Charles dan jaringan keempat Rodrigo bagi memuktamadkan kemenangan bergaya pelawat dengan keputusan 6-1.
Keputusan itu menyaksikan KDN FC terus terperosok di kedudukan terakhir saingan Liga Super musim ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.