KUALA LUMPUR: Penang FC mengikut jejak langkah Kuching City dan Negeri Sembilan apabila meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Penang yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik Neto Oliveira pada masa kecederaan babak pertama.
Perak bekerja keras memburu gol penyamaan dan memperoleh beberapa peluang terutama pada penghujung perlawanan, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
Sebaliknya, pemain gantian Penang, Alif Ikmalrizal Anuar mengesahkan kemenangan bermakna buat Harimau Kumbang apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan.
Keputusan itu juga menyaksikan Penang menjadi pasukan terakhir yang merasai kemenangan dalam Liga Super 2024-2025 selepas merekodkan tiga seri dan tewas sekali dalam empat aksi sebelum ini.
Tiga mata yang diraih di gelanggang lawan membolehkan Penang mendaki ke tangga ketujuh liga, berkongsi enam mata bersama Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuching City yang menghuni kedudukan kelima dan keenam.
Malang buat Perak apabila skuad kendalian Yusri Che Lah itu kekal di tempat ke-11 dengan mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan dan tewas empat kali dalam lima perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa