Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC meraih kemenangan besar buat kali pertama selepas membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 pada aksi kesembilan saingan Liga Super 2024/2025, sebentar tadi.
Pasukan pelawat terpaksa bertandang ke Stadium Kuala Lumpur, Cheras dengan mempertaruhkan skuad bawah 23 tahun Sang Kenari.
Ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain tiada pilihan lain susulan kesemua pemain utama mengambil tindakan memboikot untuk menghadiri sesi latihan susulan masalah tunggakan gaji.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Jovan Matika pada minit ke-14, sebelum kapten pasukan, Paulo Josue menggandakan kedudukan pada minit ke-23.
Tiga minit kemudian, Zhafri Yahya terus meletakkan skuad kendalian Miroslav Kuljanac di kedudukan lebih selesa dengan mendahului 3-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Josue sekali lagi mencatat nama selaku penjaring selepas menghasilkan gol keempat skuad The City Boys.
Penyerang naturalisasi itu meledak hatrik berselang sembilan minit kemudian sekaligus memastikan KL City FC menutup aksi dengan kemenangan 5-0.
Tiga mata itu menyaksikan KL City kini berada di kedudukan kesembila Liga, naik dua anak tangga dengan mengumpul lapan mata.
Manakala KDA FC pula turun dua anak tangga berada di kedudukan ke-10.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.