comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: PDRM FC ikat TFC

Pemain TFC, Nurrillo Tukhtasinov diasak pemain PDRM FC, Izaaq Izhan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.-Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) terus kemarau kemenangan selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

TFC yang dikendalikan jurulatih sementara, Badrul Afzan Razali selepas peletakan jawatan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, Selasa lalu gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk mencipta kemenangan.

Pada perlawanan itu, penyerang import baharu, Nelson Bonilla berjaya meletakkan pasukannya di depan selepas menjaringkan gol pada minit ke-44 untuk mendahului pelawat 1-0.

Terdahulu, TFC yang mendominasi permainan bermula garang dan mempunyai peluang terbaik bagi mendahului skuad The Corp menerusi kapten, Safawi Rasid namun sepakannya terkena tiang gol pada minit keempat.

Pada minit ke-13, Bonilla berpeluang untuk mencetak ‘akaun gol’ pertamanya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tetapi dia gagal menyudahkan hantaran lintang Azam Azmi.

Sepanjang babak pertama, PDRM FC kendalian P Maniam hanya sekali mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-19 hasil kesilapan penjaga gol, Suhaimi Husin yang gagal menangkap kemas tetapi bekas penyerang Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki gagal memanfaatkan peluang itu selepas sepakannya terkena palang.

Memasuki babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas rembatan akrobatik Suzuki berjaya disudahkan menerusi tandukan terbang pemain tengah, Chidi Osuchukwu pada minit ke-52.

Gol penyamaan itu menyaksikan kedudukan kekal 1-1 hingga tamat perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini