SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) akhirnya merasai nikmat kemenangan di tempat sendiri apabila menewaskan Sri Pahang FC, 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Memulakan aksi perlawanan dengan baik dengan beberapa gerakan merbahaya ke kawasan kubu lawan, ia jelas memberi impak positif dalam usaha mendapatkan gol.
Bagaimanapun, menerusi satu serangan balas, Sri Pahang berjaya berada di depan apabila pemain tengah Negeri Sembilan, Aliyu Abu Bakar yang cuba mengeluarkan bola hasil gerakan Kpah Sherman, tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit kelapan.
Jaringan itu ternyata berjaya menyuntik semangat anak buah Fandi Ahmad yang dilihat terus menggandakan asakan ke kawasan gol Negeri Sembilan.
Hasil sepakan sudut diambil Takumi Sasaki ternyata membuahkan kejayaan apabila Hein Htet Aung bijak memanfaat bola yang melantun terkena palang dengan merembat deras ke gawang Sri Pahang untuk gol penyamaan pada minit ke-44.
Bersambung babak kedua, anak buah K Nanthakumar yang mendapat keyakinan selepas memperoleh gol penyamaan, dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka.
Menerusi satu serangan balas, A Selvan yang tidak dikawal memanfaatkan bola hantaran lintang Jacque Faye di kawasan gol dengan menolak mudah untuk gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-59.
Menuju wisel penamat, keputusan kekal 2-1 memihak tuan rumah.