KUALA TERENGGANU: Selangor FC berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu FC (TFC) selama lebih tiga bulan apabila mencatat kemenangan 4-0 pada aksi ke-22 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Keputusan itu bukan sahaja mengukuhkan lagi kedudukan selangor di tangga kedua, tetapi lebih manis, lega dapat menebus kekecewaan tewas kepada lawan sama pada aksi suku akhir Piala Malaysia, minggu lalu.
Segalanya serba tidak menjadi buat Terengganu sekalipun beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Selepas mengharungi 25 minit permainan, gawang tuan rumah bocor apabila penyerang import Selangor, Yohandry Orozco berjaya menyingkap gol pembukaan hasil sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Pada minit ke-41, Orozco sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring selepas mudah menyempurnakan bola muntah berpunca daripada rembatan Mukhairi Ajmal Mahadi yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
Ketinggalan 2-0, Terengganu cuba bangkit di babak kedua namun Faisal Halim menambah luka bekas pasukannya dengan gol ketiga Selangor pada minit ke-52.
Pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan kemudiannya melengkapkan kemenangan 4-0 pelawat selepas memanfaatkan kegagalan Liridon Krasniqi mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, minit ke-81.
Kelebihan empat gol tanpa balas itu berjaya dipertahankan Selangor sehingga wisel penamat sekaligus mengecewakan lebih 7 ribu penyokong Terengganu.
Kejayaan itu juga menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua Liga Super dengan 52 mata manakala Terengganu berada di tangga keenam dengan 35 mata.