comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Negara-Negara UEFA: England tersungkur di Wembley

Pemain Greece, Vangelis Pavlidis (tengah) menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas England pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Wembley, London, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LONDON: Pengendali sementara Lee Carsley mengakui percaturan taktikalnya memakan diri apabila England dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Greece yang penuh emosi pada aksi Liga Negara-Negara awal pagi tadi.

Gol Vangelis Pavlidis pada babak kedua meletakkan Greece di depan di Wembley hanya 24 jam selepas kematian rakan sepasukannya George Baldock.

Jude Bellingham kelihatan menyelamatkan air muka Carsley dengan gol penyamaan lewat perlawanan, tetapi Pavlidis meledak sekali lagi pada masa kecederaan menyaksikan pengurus sementara England itu mengalami kekalahan pertama.

Baldock, yang menyertai kelab Greece, Panathinaikos dari Sheffield United awal tahun ini, diberi penghormatan terakhir susulan kemenangan dinamik pasukannya.

England diherdik dan dicerca selepas wisel penamat, menandakan berakhirnya tempoh berbulan madu Carsley selepas kemenangan ke atas Ireland dan Finland dalam perlawanan pertama kendaliannya bulan lalu.

Carsley menerima pujian menggunung susulan taktikal serangannya dalam dua perlawanan itu, yang jauh berbeza berbanding jurulatih digantikannya Gareth Southgate.

Pengurus sementara England, Lee Carsley kelihatan muram selepas tewas di tangan Greece pada aksi Liga Negara-Negara di Stadium Wembley, London awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

Namun beliau mengambil langkah keterlaluan menentang Greece, mengamalkan kesebelasan yang tidak mempunyai penyerang ketika beliau memilih untuk menggunakan lima pemain tengah menyerang.

Ketika kapten England, Harry Kane diketepikan kerana kecederaan yang dialami beraksi buat Bayern Munich hujung minggu lalu, Carsley tidak mempedulikan kehadiran Ollie Watkins dan Dominic Solanke.

Bellingham dan Phil Foden, kedua-duanya digunakan sebagai penyerang nominal, dengan Bukayo Saka dan Anthony Gordon di bahagian sayap dan Cole Palmer memegang peranan di tengah bukannya posisi nombor 10 yang mana dia cemerlang bersama Chelsea.

Namun England gagal menyesuaikan diri dengan sistem itu dan sering kali terancam dengan serangan balas Greece ketika hanya Declan Rice bertindak sebagai pemain tengah bertahan.

Di bahagian serangan, Foden dan Bellingham sering kali bertembung antara satu sama lain dan England hanya mencipta satu percubaan tepat dalam tempoh 75 minit pertama.

“Kami cuba sesuatu yang berbeza dan saya cuba melebihkan bebanan di tengah. Kami mencubanya selama 20 minit semalam, kami melakukan eksperimen dan saya kecewa ia tidak menjadi,” kata Carsley.

“Dengan kualiti pemain yang kami miliki, itulah cabarannya, untuk membolehkan semuanya beraksi di tengah padang.

“Saya fikir ia satu cara kreatif untuk bermain. Tetapi kami hanya menjadi pemerhati malam ini. Anda berdepan kejutan dan ia penting buat kami untuk bertindak balas.”

England menghuni tangga kedua Kumpulan B2 Liga Negara-Negara, tiga mata di belakang Greece, dengan Carsley didakwa memiliki taktikal naif dan kini perlukan kemenangan di Finland awal pagi Isnin ini untuk menguatkan harapannya mengendalikan Three Lions secara sepenuh masa. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini