MANCHESTER: Manchester City melepaskan kelebihan beraksi di Stadium Etihad apabila terikat tanpa jaringan menentang Inter Milan pada saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Aksi ulangan final Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu itu menyaksikan kedua-dua pasukan mensia-siakan beberapa peluang terhidang.
City dikecewakan oleh benteng Inter yang cukup berdisiplin, manakala skuad pelawat kendalian Simone Inzaghi, tidak begitu tajam dalam menamatkan serangan balas berbahaya mereka.
Penggempur sensasi City, Erling Haaland, yang berpeluang menjadi pemain terpantas dalam sejarah kelab Eropah mencapai gol ke-100, terpaksa menunggu lagi untuk mencatat rekod berkenaan.
Penyerang Norway itu, yang meledak sembilan gol dalam empat aksi Liga Perdana Inggeris musim ini, beberapa kali terlepas peluang membuka jaringan di babak pertama termasuk tandukannya yang diselamatkan penjaga gol, Yann Sommer.
Henrikh Mkhitaryan hampir membolosi gawang tuan rumah namun rembatannya melepasi palang.
Ilkay Gundogan dua kali terlepas peluang meletakkan City di depan pada saat-saat akhir menerusi tandukan.
Keseluruhan, City mempunyai 22 percubaan berbanding 13 oleh Inter, tetapi hanya lima tepat ke arah gawang manakala pelawat merakam empat percubaan tepat.
Di bawah format baharu Liga Juara-Juara, setiap pasukan akan bermain lapan perlawanan menentang lapan pasukan berbeza, dengan lapan pasukan teratas daripada 36 pasukan mara secara automatik ke pusingan 16 terakhir, dan baki 16 pasukan beraksi dalam pusingan kalah mati.
City menewaskan Inter 1-0 pada final Liga Juara-Juara 2023 di Instanbul untuk memenangi trofi berkenaan buat pertama kali, dan melengkapkan treble mereka.
Musim lalu, City disingkirkan oleh Real Madrid di peringkat suku akhir, manakala Inter dikecewakan oleh Atletico Madrid dalam pusingan 16 terakhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.