Tumpuan :
Sukan

LIGA HOKI MALAYSIA 2023 (WANITA): KPT-UNITEN Thunder rampas gelaran pendahulu daripada Negeri Sembilan

FOTO: Facebook/ HOKITA

KUALA LUMPUR: KPT-UNITEN Thunder berjaya merampas gelaran pendahulu Liga Hoki Malaysia 2023 selepas menewaskan Young Tigress 1-0 pada aksi kelima di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun muncul wira KPT-UNITEN Thunder apabila meledak gol tunggal permainan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Izzwan Mohamed Salleh mengumpul 13 mata di puncak liga, berkelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan yang mencatat keputusan seri 3-3 menentang TLHT-MSNT di Seremban.

TLHT-MSNT terlebih dahulu di depan menerusi gol padang Wan Norfaiezah Md Saiuti seawal minit kedua namun Negeri Sembilan menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid, minit ke-11.

Ketika Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nuraini menambah dua lagi gol buat Negeri Sembilan pada suku kedua, Nur Atira Mohamad Ismail berjaya merapatkan jurang sebelum Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisham meledak gol penyamaan TLHT-MSNT, minit ke-43.

Satu mata yang diraih kedua-dua pasukan itu menyaksikan Negeri Sembilan jatuh di tangga kedua dengan 11 mata manakala TLHT-MSNT yang mengutip tujuh mata kekal di tangga keempat.

Dalam pada itu, CS Hockey Team ceria merakam kemenangan pertama musim ini selepas mengatasi cabaran Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 4-1 di Bertam.

Gol-gol CS Hockey Team dijaringkan oleh Nur Amirah Jasmi Apindi, Nurul Azlin Zulkiflee, Nurul Atiqah Faten Mohd Razali dan Nursyaqirah Kassim.

Gol saguhati Mutiara Impian-MSSPP-PSHA disumbangkan Nor Alya Adawiyah Mohd Suhaimi.

Tiga mata pertama itu bagaimanapun masih meletakkan CS Hockey Team di tangga kelima manakala Mutiara Impian-MSSPP-PSHA yang belum mencatat kemenangan selepas lima perlawanan setakat ini kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Loading...
Terkini