Tumpuan :
Sukan

Liga Europa: Hatrik Lookman pacu Atalanta muncul juara

Pemain-pemain Atalanta, meraikan kemenangan dengan menjulang trofi Liga Europa selepas menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 pada final di Stadium Arena Dublin, Ireland awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

DUBLIN: Hatrik penyerang Atalanta, Ademola Lookman menamatkan rekod tanpa kalah 51 perlawanan Bayer Leverkusen untuk memenangi final Liga Europa 3-0 awal pagi tadi sekali gus meraih trofi pertama mereka dalam tempoh 61 tahun.

Lookman muncul pemain pertama meledak hatrik pada final pertandingan Eropah sejak 1975 bagi meraih kejuaraan sulung Atalanta di peringkat benua.

“Satu daripada malam terbaik dalam kehidupan saya. Persembahan memukau daripada keseluruhan pasukan,” kata Lookman.

“Kami perlu meraikannya, kami melakar sejarah malam ini.”

Hatrik penyerang Atalanta, Ademola Lookman menamatkan rekod tanpa kalah 51 perlawanan Bayer Leverkusen.– FOTO: Reuters

Di bawah kendalian Gian Piero Gasperini, Atalanta menikmati era keemasan, layak ke Liga Juara-Juara empat kali dan kini bergelar juara.

Leverkusen yang menang kejuaraan sulung Bundesliga musim ini, pada perlawanan ini memulakan permainan dengan agak lembap.

Permainan mantap Atalanta pada babak pertama berbaloi selepas hanya 12 minit.

Davide Zappacosta mengumpan dari sebelah kanan dan Lookman menghukum kealpaan Exequiel Palacios untuk merembat masuk ke penjuru gol.

Gol kedua pemain Nigeria berusia 26 tahun itu memang tepat untuk memenangi mana-mana final apabila dia mengelirukan Granit Xhaka sebelum melakukan rembatan lencong ke penjuru gol pada minit ke-26.

Leverkusen turut dinafikan talian hayat apabila Gianluca Scamacca bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning susulan terjahan keras ke atas Florian Wirtz.

Buat kali keempat dalam pusingan kalah mati Liga Europa, anak buah Xabi Alonso mendapati mereka ketinggalan 2-0.

Alonso menikmati peningkatan memberangsangkan sebagai jurulatih paling berharga di Eropah ketika ini.

Pengendali dari Sepanyol itu menolak tawaran bekas kelab Liverpool dan Bayern Munich untuk kekal di BayArena musim depan.

Bagaimanapun, keputusan Alonso bermula tanpa penyerang utama tidak menjadi dan beliau terpaksa memasukkan Victor Boniface sejurus selepas rehat untuk menambah kekuatan di jentera hadapan.

Atalanta berjaya menyerap tekanan Leverkusen selepas rehat dan sering melakukan serangan balas pantas.

Penyerang Atalanta, Ademola Lookman (kanan) menyumbat masuk gol ketiga pasukannya pada final Liga Europa menentang Bayer Leverkusen di Stadium Arena Dublin, Ireland awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

Gol terakhir adalah satu lagi penamat bergaya daripada Lookman apabila dia melepasi kawalan Edmond Tapsoba dan kali ini merembat ke penjuru gol dengan kaki kirinya pada minit ke-75.

Atalanta tewas semua tiga final mereka sebelum ini di bawah kendalian Gasperini, terbaharu kalah final Piala Itali di tangan Juventus minggu lalu.

Namun kali ini mereka tidak dapat dinafikan untuk melakar sejarah apabila mereka disambut di garisan penamat oleh beribu-ribu penyokong dalam jersi biru dan hitam yang melakukan kunjungan dari utara Itali ke ibu negara Ireland itu.

Kemenangan itu menyaksikan mereka muncul kelab pertama Itali memenangi pertandingan itu sejak Parma menjulang Piala UEFA pada 1999. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini