MANCHESTER: Dua gol daripada Amad Diallo membantu Manchester United menang 2-0 ke atas PAOK pada aksi Liga Europa awal pagi tadi, ketika pengurus sementara Ruud van Nistelrooy mencapai apa yang gagal dilakukan Erik ten Hag dengan kemenangan pertama kelab itu dalam pertandingan musim ini.
United seri tiga aksi pertama mereka dalam Liga Europa, namun tandukan lambung Diallo ke penjuru bawah gol susulan hantaran lintang Bruno Fernandes lima minit selepas rehat mencetus kemenangan pasukan kendalian Van Nistelrooy.
Dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan pertama mereka, pelawat dari Greece berpeluang untuk meraih sesuatu daripada perlawanan itu dan penjaga gol United, Andre Onana terpaksa menepis bola percubaan Mady Camara melepasi palang pada babak pertama.
PAOK berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 namun rembatan Taril Tissoudali yang tidak dikawal dari jarak dekat terlalu lemah untuk mengatasi Onana dan Diallo memastikan kemenangan 13 minit sebelum tamat.
Kali ini dia melakukannya sendirian, menggelecek melepasi Baba Rahman dan mengatasi cabaran pemain pertahanan itu untuk meluru ke dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan yang terbias sedikit sebelum menerjah penjuru jaring.
Van Nistelrooy, yang akan memberi laluan kepada pengurus baharu Ruben Amorim, menggantikan Ten Hag yang dipecat 10 hari lalu dan tidak tewas dalam tiga perlawanan kendaliannya.
Kemenangan itu menyaksikan United mengumpul enam mata di tangga ke-15 Liga Europa. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.