PETALING JAYA: Hasrat perseorangan wanita negara, K Letshanaa untuk mara ke undian utama Badminton Terbuka Arctic tidak kesampaian apabila tewas pada pusingan kelayakan.
Berlangsung di Vantaan Energia Arena, Letshanaa, yang mendudukki ranking ke-66 dunia, bermula baik pada pusingan pertama kelayakan apabila mudah menewaskan pemain Switzerland, Jenjira Stadelmann yang berada di ranking ke-70 dunia, 21-13 21-11.
Begitupun lawan sebenar Letshanaa menanti pada pusingan kelayakan kedua menentang pemain Thailand, Lanlirat Chaiwan, pemain ranking ke-55 dunia.
Tewas set pertama 18-21, Letshanaa menampilkan kebangkitan menang 21-19 pada set kedua.
Set penentuan terus mendebarkan menyaksikan aksi menarik dan pantas kedua-dua pemain.
Bagaimanapun selepas pertarungan yang berlarutan satu jam dan satu minit itu, Letshanaa akur tewas 17-21.