KUALA LUMPUR: Mengambil pendekatan dari sistem pendidikan dan persediaan calon untuk menghadapi peperiksaan penting; sama juga konsepnya harus diterapkan oleh seorang atlet.
Bagi penganalisis sukan tanah air, Mohd Sadek Mustaffa, sasaran pingat secara spesifik sepatutnya menjadi perkara lumrah buat atlet.
“Saya suka gunakan analogi seorang pelajar dengan peperiksaan. Mereka sudah ada sasaran mahu mencapai keputusan cemerlang. Contohnya 8A. Mereka sedar peperiksaan itu penting dan akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat memaklumkan penetapan sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 adalah mengikut jumlah pingat keseluruhan dan tidak mengikut warna pingat.
Hannah berkata, penetapan itu turut mengambil kira saranan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU), malah pendekatan itu juga adalah amalan yang sudah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
Katanya, penetapan pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa.
Biarpun begitu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam secara peribadi tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut, sambil menegaskan, sasaran pingat secara khusus mengikut warna akan menambah lagi daya saing yang sihat.
“Sama juga dengan atlet. Tekanan mereka adalah sasaran pingat. Suka atau tidak, mereka perlu diberi tekanan. Dari situ kita tahu dia adalah atlet yang baik, bijaksana dan mempunyai IQ yang bagus. Oleh itu sasaran pingat adalah perkara biasa,” ujarnya.
Menerusi latihan intensif dan pendedahan yang diterima, atlet sewajarnya mampu menyerap sebarang bentuk tekanan seperti mana pelajar yang telah membuat persediaan rapi sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
Sudah tentu pelajar dan guru telah berbincang mengenai soalan-soalan yang wajib dijawab secara spesifik.
Maka begitu jugalah persediaan atlet dan jurulatih dalam usaha mencapai matlamat pingat ketika bertanding dalam acara masing-masing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.