MELAKA: Legenda sukan berbasikal Malaysia, Shaharudin Jaafar, 85, yang mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1965, kini dirawat di Hospital HUKM akibat usus bocor, kegagalan buah pinggang, dan penyakit jantung.
Shaharudin telah berada lima hari di hospital untuk menjalani rawatan intensif, dengan pakar perubatan berusaha menangani keadaan kesihatannya yang kritikal.
Beliau yang pernah menjalani tiga pembedahan jantung dan pembedahan mata berkata, dirinya reda dengan ujian yang dihadapi dan berharap doa serta sokongan orang ramai untuk kesembuhan dan kelancaran rawatannya.
“Alhamdulillah ramai juga yang melawat saya di hospital termasuk rakan seangkatan dalam sukan berkenaan Datuk Ng Joo Ngan yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya untuk sentiasa kuat menghadapi situasi ini.
“Saya tidak tahu bila boleh keluar dari wad namun apa yang diharapkan penyakit yang dihadapi ini akan pulih walaupun tidak sepenuhnya. Saya hanya bertawakal kepada Allah SWT dan semoga semua usaha perubatan akan dipermudahkan,” katanya.
Apapun, dia mengharapkan sukan berbasikal akan terus maju dan mampu untuk terus melahirkan jaguh sukan berbasikal yang boleh bersaing di pentas dunia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.