KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengesahkan yang dia menarik diri daripada saingan badminton Terbuka Malaysia yang dijadual bermula, Selasa ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Team LZJ, sebentar tadi, pemain nombor enam dunia itu terpaksa membuat keputusan berkenaan selepas masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
“Penyertaannya di Terbuka India dan Masters Indonesia yang turut dijadual berlangsung pada Januari juga masih dalam pertimbangan, bergantung kepada tahap pemulihannya,” kata kenyataan itu.
Zii Jia sebelum ini berdepan nasib malang apabila terpaksa menarik diri ketika set kedua bertemu pemain China, Li Shi Feng dalam aksi terakhir Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou.
Dia yang sudah mengesahkan tempat di separuh akhir selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen dan Chou Tien Chen, memimpin perlawanan 13-4 dalam set kedua selepas memenangi set pertama 22-20.
Bagaimanapun, kecederaan buku lali kanan memaksa dia menarik diri ketika mendahului 15-11.
Keputusan menarik diri itu turut menyaksikan penyertaan Zii Jia di kejohanan itu dibatalkan berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Zii Jia sebelum ini diundi bertemu pemain Taiwan, Su Li Yang pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia.
Dengan ketiadaan Zii Jia, Leong Jun Hao menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan pertama Jelajah Dunia BWF 2025 bertaraf Super 1000 itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.45 juta (RM6.52 juta).
Jun Hao yang menghuni ranking ke-29 dunia akan membuka tirai kempen menentang pemain China, Lu Guang Zu pada aksi pusingan pertama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.